03 Mei 2016

DEFTECH Sasarkan Penjualan Handalan II Kepada Arab Saudi

03 Mei 2016


Deftech Handalan II truk (photo : Shah Alam)

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kontraktor pertahanan utama Malaysia, DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) berhasrat untuk memasarkan HANDALAN II, trak kargo kegunaan am 3 tan yang telah dipertingkatkan kepada Arab Saudi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lt Kol (H) Datuk Amril Samsudin berkata beberapa perbincangan telah pun dibuat dengan kerajaan Arab Saudi dan syarikat itu yakin dapat memuktamadkan penjualan berdasarkan latar belakang syarikat yang kukuh memandangkan ia merupakan pembekal utama kereta perisai kepada kerajaan Malaysia.

"Ia (tawaran) masih di tahap permulaan. Adalah sukar untuk kami berikan keputusan pada masa sekarang. Malah, kami masih mengadakan pertemuan dengan mereka esok.

"Dengan izin Tuhan, kami akan cuba yang terbaik. Tambahan pula, kami adalah sebahagian daripada Pertubuhan Kerjasama Islam," katanya kepada Bernama semasa Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2016) di sini Selasa.

Katanya, DEFTECH telah membuat pelaburan yang signifikan bagi meningkatkan keupayaan kenderaan 3 tan itu.

Edisi terbaharunya, Handalan II, kini dilengkapi dengan penghawa dingin, tempat duduk dan kestabilan yang lebih baik, tayar yang mampu berfungsi ketika pancit serta banyak lagi.

DEFTECH telah mengeksport Handalan II untuk pasaran antarabangsa seperti Timor Leste, Brunei dan Bangladesh.

Awal hari ini, DEFTECH menandatangani empat perjanjian bernilai lebih daripada RM191 juta, termasuk kontrak untuk membekalkan 222 unit Handalan II, bernilai RM73.7 juta kepada kerajaan Malaysia.

Kumpulan pertama trak akan dihantar pada tahun 2017.

Trak kargo seberat 3 tan itu merupakan kenderaan utama angkatan tentera Malaysia dalam operasi, latihan dan logistik mereka.

Pada masa sekarang, 80 peratus daripada trak 3 tan itu berada dalam inventori Tentera Darat Malaysia dan telah berkhidmat di antara 15 hingga 20 tahun.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

(Bernama)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar